Sunday, November 15, 2015

Pamali: Sunda dan Jawa (1)



Pulau yang kini dikenali dengan nama pulau Jawa, pada asalnya menempatkan manusia yang sebangsa dan satu suku. Mereka belum lagi membezakan diri mereka kepada Jawa, Sunda, Madura, Osing, Cirebon, Banten, Betawi, dan Banyumasan - melainkan menyatakan daerah asal mereka apabila bertemu. Pulau Jawa juga turut dijoloki sebagai Pulau Hyang atau Pulau Dewata kerana pulau ini dianggap tempat di mana Dewi Sita dibawa lari seperti yang terakam dalam karya Ramayana. Selain itu, terdapat beberapa pergunungan di pulau ini diabadikan dengan nama Hyang; sebagai contoh: Parahyangan (Priangan, Jawa Barat), Dihyang (Dieng, Jawa Tengah) dan Iyang (Iyang, Jawa Timur). 

Kerajaan Awal

Selain daripada situs Gunung Padang yang dianggar berusia 20 000 tahun, kebudayaan awal yang wujud di pulau ini ialah kebudayaan Buni, seawal 400 SM dan terletak di pesisir utara Jawa Barat. Kebudayaan Buni ini kemudian digantikan dengan kerajaan Salakanagara (Kota Perak). Pemerintah tempatan terakhir sebelum kerajaan Salakanagara berdiri ialah Aki Tirem. Menantunya mewarisi kepimpinannya dan memulakan kerajaan Salakanagara sekitar 130M dan kerajaan ini berakhir pada 362M. Salakanagara kemudian menjadi negeri bawahan kerajaan Tarumanagara yang dibangunkan oleh wangsa atau dinasti Warman. Tarumanagara atau Kota Taruma diduga namanya diambil sempena sebuah sungai, iaitu Citarum. Pada 526M, Suryawarman pemerintah Taruma yang ke-7, telah mengangkat menantunya, Manikmaya yang berasal dari Jawa Timur sebagai rajaresi di wilayah kebuyutan atau mandala Kendan. 


Pada masa yang sama, wujud sebuah kerajaan purba di timur Tarumanagara yang digelar masyarakat tempatan sebagai Medang Kemulan. Perkataan "kemulan" diduga bererti permulaan atau kerajaan pra-Medang. Medang Kemulan muncul dalam hikayat Aji Saka dan hikayat asal-usul orang Madura. Menurut hikayat Aji Saka, Medang Kemulan diperintah oleh bangsa denawa dan rajanya pada ketika itu bernama, Prabu Dewata Cengkar. Semulanya, Prabu Dewata Cengkar ialah raja yang adil dan saksama. Namun, suatu ketika, tukang masak diraja secara tidak sengaja terhiris jarinya ketika memasak dan darahnya tercampur dalam panganan sang prabu. Semenjak itu, sang prabu menjadi raja yang zalim dan dahagakan darah manusia. 

Kemudian, di pesisir utara Jawa Tengah, sekitar Pekalongan dan Jepara, wujud sebuah kerajaan yang bernama Holing menurut catatan Cina. Holing ini diduga sepadan dengan kerajaan Kalingga dalam Babad Tanah Djawi dan turut digelar sebagai kerajaan Jawa. Kerajaan Jawa ini wujud sekitar abad ke-6 atau ke-7 Masihi. Meskipun kerajaan ini digelar kerajaan Jawa, namun berdasarkan rekod yang ditemui, kerajaan ini menggunakan bahasa Melayu kuno sebagai bahasa rasmi dan dalam menulis prasasti (e.g. prasasti Sojomerto). Pendulu bagi kerajaan Jawa ini ialah Santanu yang kemudiannya diwarisi Dapunta Selendra. Oleh itu, kerajaan Jawa ini dapat dirumuskan sebagai milik wangsa Sailendra. 



Sunda dan Galuh

Pemerintah terakhir daripada wangsa Warman yang memerintah Tarumanagara tidak memiliki putera. Linggawarman mempunyai dua orang puteri, iaitu Manasih dan Sobakancana. Manasih telah diperisterikan dengan Tarusbawa, pemerintah daerah Sunda Sembawa yang merupakan bekas ibu kota Tarumanagara. Manakala, Sobakancana menjadi isteri Dapunta Sri Jayanasa yang kelak mendirikan kerajaan Sriwijaya yang berpusat di Palembang. Oleh itu, takhta pemerintahan Tarumanagara beralih kepada Tarusbawa dan menandakan berakhirnya pemerintahan wangsa Warman. Tarusbawa kemudiannya menukar nama kerajaan Tarumanagara kepada Sunda dan memindahkan ibu kotanya ke Sundapura. Hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati, cucu Manikmaya yang merupakan rajaresi Kendan. Rajaresi Wretikandayun yang mendirikan kota Galuh, mengisytiharkan bebas daripada kekuasaan Sunda dan berdiri sebagai kerajaan yang merdeka meliputi wilayah Kendan, sekitar Nagreg dan Garut. 


Putera kepada Wretikandayun, iaitu Mandiminyak memperisterikan Prawati, puteri kepada Ratu Shima, pemerintah kerajaan Jawa. Hasil perkahwinan tersebut, dikurniakan seorang putera bernama Bratasenawa dan menjadi pemerintah kerajaan Galuh yang ke-3. Bratasenawa kemudian memperisteri cucu kepada Ratu Shima, iaitu Sanaha. Bratasenawa dan Sanaha memperoleh seorang putera yang dinamakan Sanjaya atau Rakyan Jambri. Mandiminyak dan Bratasenawa diduga sebagai pemerintah kerajaan Galuh dan Jawa pada masa yang sama. Walau bagaimanapun, prasasti Canggal menyatakan bahawa Sanjaya mewarisi takhta kerajaan Jawa (Kalingga) daripada Sanna melalui saudara perempuannya iaitu Sannaha setelah kerajaan berada dalam perpecahan. 

Purbasora, saudara seibu Bratasenawa (hasil pernikahan Rahyang Sempakwaja dan Prawati) berhasil merampas takhta pemerintahan Galuh. Bratasenawa dan keluarganya mengungsi ke kerajaan Sunda untuk memohon perlindungan dan bantuan. Ironinya, datuk kepada Bratasenawa (iaitu Wretikandayun) dahulu ingin berpisah daripada kerajaan Sunda di bawah Tarusbawa. Kini cucu Wretikandayu telah datang memohon perlindungan dan bantuan daripada Tarusbawa. Kerajaan Sunda diperintah oleh Tarusbawa dan kemudiannya diwarisi puteranya, Rakyan Sundasambawa. Rakyan Sundasambawa tidak memerintah lama dan meninggalkan seorang puteri bernama Nay Sekarkancana atau Tejakencana. Tejakencana kemudiannya diperisterikan kepada Sanjaya dan menjadi pemerintah kerajaan Sunda dengan gelaran, Prabu Harisdarma. Baginda juga dikurniakan seorang putera hasil perkahwinannya dengan Tejakencana, bernama Rakyan Tamperan. 

Dengan bantuan Tarusbawa dan kerajaan Sunda, Sanjaya berhasil membunuh Purbasora dan menuntut takhta Galuh. Oleh kerana Sanjaya sedang bertakhta di Sunda, maka ditawarkan kepada Demunawan, adik kepada Purbasora. Namun, Sampakwaja menolak pelawaan tersebut kerana khuatir akan muslihat Sanjaya untuk menghapuskan Demunawan. Oleh itu, Sanjaya melantik Premana, cucu kepada Purbasora untuk menjadi penguasa Galuh dibawah seliaan Rakyan Tamperan sebagai Patih.

bersambung...

1 comment:

  1. Hi Andika. Greetings. I was wondering if it would be all right if I used your Orang Asli map for my thesis to indicate the distribution of the 3 Orang Asli groups of Peninsular Malaysia? Also, please advise how you would like to referenced in my work.

    ReplyDelete