Friday, October 23, 2015

Konsep Suku dalam Masyarakat Pribumi Nusantara (Bahagian 1)

     


Kita sememangnya, satu rumpun, satu bangsa, dan satu keluarga. Walau bagaimanapun, penerapan model kefahaman Barat terhadap etnik dan suku yang kaku dan tegar telah membawa kepada permasalahan dan pertelingkahan yang tidak berkesudahan. Sebelum itu, masyarakat pribumi Nusantara mengamalkan konsep “kecairan suku”. Seseorang boleh berpindah daripada satu suku kepada suku yang lain, dengan mengambil dan mengamalkan budaya, cara hidup dan bahasa suku baharunya. Berbeza dengan konsep Barat, bahawa etnik atau suku ialah ketetapan sejak lahir yang tidak boleh berubah atau dipinda. Dalam konsep Nusantara, selagi mana seseorang itu ialah pribumi Nusantara, serumpun budaya dan bahasa, maka tiada masalah untuk seseorang itu diterima masuk menjadi anggota suku yang lain.

Berikut ialah beberapa konsep asas yang berkait dengan konsep kesukuan yang perlu difahami:
  1. 1        Melayu Proto dan Melayu Duetro
  2. 2        Orang Asal dan Orang Dagang/Rantau
  3. 3        Melayu Darat dan Melayu Laut (Jawaka vs Malayu)


Melayu Proto vs Melayu Deutro

     Pengkelasan masyarakat pribumi Nusantara kepada dua kelompok besar ini adalah didasari oleh perbezaan cara hidup dan pencapaian ketamadunan mereka. Masyarakat Melayu Proto ialah sebuah masyarakat yang mengamalkan cara hidup nomad atau separa nomad dan biasanya jauh daripada hubungan dengan dunia luar (kawasan pedalaman). Mereka masih memelihara cara hidup yang lebih tradisional (primitif/asas) dan kurang atau tidak terbuka kepada pembaharuan dan perubahan. Persemendaan sesama suku atau suku-suku yang berdekatan sahaja menyebabkan kurang kepelbagaian dalam genetik mereka. Kedudukan muka bumi penempatan mereka merupakan satu bentuk halangan semula jadi bagi mengekang kemasukan pengaruh asing atau luar. Mereka merupakan contoh tindak balas manusia untuk mengelak dan menolak sesuatu perubahan atau kedatangan anasir baharu dengan menjadi lebih tertutup dan berlebihan dalam mempamerkan atau memelihara unsur sedia ada. Masyarakat Melayu Proto menjadi lambang bukti betapa tuanya masyarakat pribumi Nusantara dan uniknya, tidak banyak bangsa di dunia ini yang masih mempunyai bentuk masyarakat proto mereka. 

     Meskipun cara hidup mereka dikatakan primitif (atau asas), namun tidak bermakna mereka tidak mempunyai ketamadunan langsung. Mereka mempunyai sistem pemerintahan tersendiri di mana setiap kampung diketuai oleh Tok Batin, Tok Ketua dan lain-lain gelaran. Kawasan penempatan mereka boleh jadi berada di bawah pengaruh sesebuah kerajaan pusat ataupun merupakan kawasan yang bebas. Berada di bawah pemerintahan pusat tidak menjadikan mereka Melayu Deutro melainkan mereka mengadaptasi cara hidup Melayu Deutro dan meninggalkan cara hidup lama mereka. Sumber ekonomi masyarakat Melayu Proto lebih kepada berbentuk sara diri. Antara kegiatan ekonomi mereka ialah meramu (memungut hasil hutan), memburu, menanam padi huma, menangkap ikan, mengutip hasil lautan dan sebagainya. Kadang kala, mereka turut terlibat dalam aktiviti perdagangan antarabangsa namun melalui orang tengah iaitu masyarakat di negara kota (iaitu Melayu Deutro) yang menjadi pusat pengumpulan barang dagangan dan hasil bumi. Masyarakat Melayu Proto mengamalkan kepercayaan animism atau dinamism, iaitu kepercayaan semangat hutan, laut dan lain-lain benda bukan hidup. 


  • Masyarakat Temuan, kini sudah terbuka kepada pemodenan namun masih memelihara aspek kebudayaan warisan mereka. 



  • Orang Laut adalah salah satu penyumbang kepada kestabilan dan keselamatan jalan perdagangan sewaktu zaman Empayar Melayu Sriwijaya dan Empayar Melayu Melaka.



     Melayu Deutro pula ialah masyarakat pribumi yang lebih kehadapan dalam aspek kemajuan dan ketamadunan berbanding dengan saudara sebangsa mereka, Melayu Proto. Mereka biasanya mendiami kawasan pesisir pantai atau kawasan pedalaman yang dihubungi sungai bagi memudahakan perhubungan dengan dunia luar. Kesediaan masyarakat pribumi untuk mengadakan hubungan dengan dunia luar membuka peluang kepada pertukaran idea dan teknologi serta meningkatkan sumber pendapatan dan taraf hidup. Struktur masyarakat juga semakin kompleks dan pencapaian tamadun yang lebih maju diterjemahkan dengan budaya yang tinggi. Menurut Ibn Khaldun, sesuatu masyarakat hadhari (bandar) dan tamadun dapat berkembang dengan dua faktor utama, iaitu hijrah (berpindah atau merantau) dan semangat assobiyah (semangat kebersamaan atau kolektif). Perpindahan masyarakat pribumi Nusantara dari satu tempat ke satu tempat dalam wilayah Nusantara secara dalaman (in situ) berlaku selama 35 000 tahun. Perpindahan dalam bentuk setempat atau in situ dalam batas wilayah sesuatu bangsa tidak menjadikan mereka sebagai pendatang tetapi lebih kepada perantau atau peneroka (jika mereka tiba di tempat yang belum diduduki atau dihuni). 

     Masyarakat Melayu Deutro mempunyai sistem pemerintahan yang lebih teratur dan kompleks. Pusat pemerintahan masyarakat Melayu Deutro biasanya merupakan sebuah negara kota yang turut berfungsi sebagai pusat ekonomi, keilmuan dan kebudayaan. Keluasan wilayah kekuasaan sesebuah negara kota pula bergantung kepada sejauh mana kesetiaan yang diterima oleh pemerintah negara kota tersebut, sama ada melalui pengakuan kedaulatan atau melalui peperangan dan penaklukan. Wilayah kekuasaan ini digelar negeri, manakala pusat pemerintahan dipanggil negara. Tambahan pula, sempadan negeri bagi sesebuah negara kota berubah-ubah bergantung kepada pengaruh dan kekuatan yang dimiliki. Negara-negara kota juga boleh membentuk pakatan atau konfederasi atas faktor ekonomi dan perdagangan, ketenteraan dan politik. 

     Kegiatan utama masyarakat Melayu Deutro ialah kegiatan ekonomi secara besar-besaran atau komersial. Sebagai contoh, penanaman padi untuk perdagangan, pertukangan besi dan kayu, perkapalan, pengurusan pelabuhan, artisan dan lain-lain lagi. Percambahan bentuk kegiatan ekonomi daripada bentuk sara diri kepada bentuk komersial melambangkan keperluan masyarakat yang semakin pelbagai seiring dengan kemajuan dan ketamadunan. Masyarakat Melayu Duetro juga turut mengamalkan kepercayaan semangat atau animism sebelum kedatangan agama-agama luar ke nusantara. Namun perbezaan antara mereka dengan masyarakat Melayu Proto ialah dipercayai mereka mempunyai ritual-ritual yang lebih kompleks dan binaan-binaan rumah ibadat yang besar untuk melambangkan ketinggian tamadun mereka. Sebagai contoh, telah ditemui binaan rumah ibadat yang tidak bercirikan Hindu-Buddha dan dipercayai merupakan binaan agama setempat (yang digelar agama gunung Jerai) di Sungai Batu, Kedah yang bertarikh sekitar 110 Masihi. 


  • Masyarakat Melayu Riau antara penerus kebudayaan Melayu yang menjadi tunjang kepada Empayar Sriwijaya dan Empayar Melaka serta Johor-Riau. 


  • Masyarakat Kelantan yang terkenal dengan kebudayaannya yang unik melambangkan kebudayaan Melayu Darat.


  • Masyarakat Jawa yang terkenal dengan sinkritisme dan keteguhan dalam melestarikan kebudayaannya.


     Kesimpulannya, tiada pembahagian yang tegar antara Melayu Proto dan Melayu Deutro, terutamanya jika mahu dikelompokkan suku-suku tertentu di bawah salah satu pengkelasan di atas pada zaman ini. Hal ini kerana, telah terjadinya mobilisasi sosial dan penyediaan peluang kepada masyarakat pribumi sama ada Melayu Proto mahupun Melayu Deutro untuk sama-sama terlibat dalam pembinaan negara bangsa moden hari ini dan masih mengekalkan identiti asal seseorang atau sesuatu suku. Berbanding pada zaman bahari, sebagai contoh; masyarakat Dayak (Melayu Proto) di Kalimantan yang menerima pengaruh kebudayaan Melayu Deutro (Melayu dan Jawa) serta menganut agama Hindu dan kemudiannya Islam sebagai kesan daripada proses kemajuan telah diterima sebagai sebahagian daripada suku Melayu (sebagai contoh suku Banjar) dan dikelaskan sebagai Melayu Deutro. 

     Selain daripada itu, salah tafsiran bahawa Melayu Proto lebih tua berbanding Melayu Deutro juga perlu dikikis. Melayu Proto dan Melayu Deutro adalah daripada induk yang sama. Yang membezakan mereka ialah cara hidup mereka yang terbuka kepada pengaruh luar atau ketegaran mereka memelihara unsur sedia ada atau yang lama. Meskipun jika diukur umur genetik, maka didapati, umur genetik Melayu Deutro kebanyakkan lebih muda berbanding Melayu Proto adalah disebabkan Melayu Deutro bersemenda dengan suku yang jauh manakala Melayu Proto bersemenda sesama sendiri yang mengakibatkan kepelbagaian genetik yang lebih tinggi dalam Melayu Deutro. 

     Melayu Proto dan Melayu Deutro bukanlah semata-mata gelombang penghijrahan kerana penghijrahan itu sentiasa berlaku dari satu tempat ke tempat yang lain pada setiap zaman sebagai salah satu jalan kemajuan dan pembinaan tamadun. Pendapat yang mengatakan bahawa penghijrahan Melayu Proto dan Melayu Deutro dalam dua gelombang yang berbeza dan menganggap bahawa tempat asal bagi masyarakat pribumi Nusantara ialah dari Yunnan adalah tidak tepat. Kajian genetik mt-dna oleh Prof. Oppenheimer membuktikan bahawa pergerakan manusia ialah daripada selatan (Asia Tenggara) ke utara (Tanah Besar Asia) dan bukan sebaliknya. Bahkan jika wujud penghijrahan imbal balik ke selatan, tiada sebarang bentuk penggantian (displacement) atau kepupusan manusia asal di Asia Tenggara. Selagi mana mereka yang serumpun berhijrah dalam batas wilayah Nusantara, maka mereka tetap sebahagian daripada bangsa besar kita. 

     Sewajarnya, pembahagian Melayu Proto dan Melayu Deutro dilihat dalam bentuk spektrum yang bersambung kerana sesetengah suku masyarakat pribumi Nusantara menerima pembaharuan dan pengaruh luar pada zaman dan peringkat yang berbeza. Sesetengah suku mempamerkan sebahagian ciri Melayu Deutro dan sebahagian ciri Melayu Proto pada masa yang sama. Dengan menanggapi Melayu Proto dan Melayu Deutro sebagai spektrum yang cair dan mudah berubah memberi gambaran sebenar perkembangan kemajuan dan ketamadunan masyarakat pribumi Nusantara secara umum dan suku-suku pribumi secara khasnya.


No comments:

Post a Comment