Saturday, November 21, 2015

Konsep Suku dalam Masyarakat Pribumi Nusantara (Bahagian 2)

Orang Asal vs Orang Rantau/Dagang


Terdapat beberapa kekeliruan berkenaan definisi Orang Asal dan Orang Asli, bahkan dalam sistem perundangan. Orang Asal ialah anak watan bagi sesuatu negeri atau wilayah. orang Melayu, Orang Asli, orang Iban, orang Dusun dan lain-lain etnik peribumi ialah Orang Asal bagi negeri atau wilayah masing-masing. Orang Asal di Nusantara ialah masyarakat peribumi yang mendiami wilayah ini sejak semula, dan Orang Asal tidak setara dengan Melayu Proto kerana Melayu Deutro juga ialah Orang Asal bagi kawasan penempatan mereka. Hal ini juga dikuatkan dengan bukti kajian genetik yang mengesahkan bahawa Melayu Proto (sebagai contoh Orang Asli) dan Melayu Deutro (sebagai contoh orang Melayu Semenanjung) berasal daripada satu jurai keturunan yang sama. Menurut Puan Zaharah Sulaiman, pengkajiselidik sejarah, suku-suku peribumi di Asia Tenggara berpunca daripada satu kelompok manusia yang dipanggil Semang (Negrito). Melalui prinsip "enggang sama enggang dan pipit sama pipit", manusia berpecah-pecah mengikut kelompok masing-masing dan berevolusi secara mandiri dan hal ini kelak melahirkan suku-suku yang berbeza seperti yang kita kenali. Daripada Negrito itu, maka turunlah suku Senoi, suku Melayu Asli dan seterusnya suku-suku Melayu Muda atau Melayu Deutro seperti orang Melayu (pesisir), orang Jawa, orang Minang dan lain-lain. Revolusi dan perubahan cara hidup manusia kemudiannya mengubah pola kehidupan suku-suku ini yang dikelaskan kepada Melayu Proto dan Melayu Deutro berdasarkan perbezaan cara hidup. 

Gambar 1: Taburan Suku-suku Orang Asli di Semenanjung.
N.B. Di sesetengah kawasan terdapat pertindihan antara suku Melayu dan suku-suku Orang Asli. 

Gambar 2: Jurai Penurunan Suku-Suku di Nusantara.


Orang Rantau/Dagang ialah mereka yang berhijrah dari kampung halaman atau negeri asal ke tempat baharu atas faktor politik, ekonomi dan pendidikan. Dalam sejarah bangsa Melayu, begitu banyak hikayat-hikayat yang menceritakan perpindahan atau perantauan raja mahupun anak raja dalam peristiwa buka negeri. Sebagai contoh, Sultan Iskandar Syah, berhijrah daripada Singapura Purba ke Bentayan dan akhirnya ke Melaka sebelum membuka negeri di situ. Ketika tiba di Melaka, Sultan Iskandar Syah mendapati telah wujud perkampungan orang Melayu di situ. Oleh itu, orang Melayu di Melaka pada saat itu ialah Orang Asal bagi Melaka manakala Sultan Iskandar Syah dan pengikutnya merupakan Orang Rantau walaupun kedua-dua mereka ialah orang Melayu. Dan dalam warisan sistem pemerintahan kesultanan Melayu Melaka, kebiasaannya, raja atau sultan merupakan Orang Rantau yang mempunyai "darah raja" manakala jawatan bendahara biasanya disandang pemimpin Orang Asal wilayah tersebut. Hal ini dapat juga diteliti antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba di mana Sang Sapurba yang menikahi putri Demang Lebar Daun diangkat menjadi Raja manakala Demang Lebar Daun berperanan sebagai Bendahara atau Patih (penasihat). Selain itu, di Semenanjung, wujud istilah Melayu Jati dan Melayu Dagang. Melayu Jati ialah Orang Asal di Semenanjung seperti Melayu Kedah, Melayu Patani, Melayu Kelantan, Melayu Terengganu, Melayu Pahang, Melayu Perak, Melayu Selangor, Melayu Negeri Sembilan, Melayu Melaka, Melayu Johor dan Melayu Singapura. Manakala, Melayu Dagang ialah mana-mana suku peribumi daripada Nusantara atau Alam Melayu yang berhijarah ke Tanah Melayu. Mereka ialah orang Jawa, Minang, Kampar, Banjar, Rawa, Bugis, Aceh, Mandailing dan lain-lain lagi. Kebanyakkan Melayu Dagang berhijrah ke Tanah Melayu kerana faktor politik dan ekonomi akibat peperangan dan penindasan penjajah. 

Gambar 3: Antara Melayu Dagang dan Melayu Jati di Malaya.

Antara contoh yang menarik tentang interaksi atau hubungan antara Orang Asal dan Orang Rantau ialah dalam pembukaan Negeri Sembilan. Sebelum kedatangan perantau Minang di Negeri Sembilan, telah wujud sistem pemerintahan tersendiri di negeri tersebut. Hal ini terbukti melalui kitab Negarakertagama yang ditulis pada abad ke-14, nama luak Sungai Ujong telah pun wujud sebelum pembentukan Negeri Sembilan. Negeri Sembilan mula dibentuk apabila pengulu-penghulu luak-luak yang sembilan meminta izin Sultan Melaka untuk mencari anak raja bagi dirajakan negeri mereka. Sultan Melaka memberi perkenan lalu anak raja daripada Pagar Ruyung, Sumatra dipilih sebagai raja pada sekitar abad ke-18. Perkahwinan antara Raja Malewar (anak raja Pagar Ruyung) dan beberapa orang pengikutnya dengan anak-anak pemimpin Orang Asal (iaitu orang Jakun) telah melahirkan Suku Biduanda. Suku Biduanda inilah yang layak memegang jawatang undang yang empat iaitu undang di luak Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Rembau serta jawatan penghulu di luak Terachi, Gunung Pasir, Ulu Muar, Inas (Sri Menanti) dan Jempol. Kemudiannya, datang kelompok kedua penghijrahan daripada golongan rakyat Minang. Kemudiannya berlaku penyesuaian antara rakyat Minang dan rakyat Jakun. Bagi orang Jakun yang tidak dapat menerima perubahan baharu ini, mereka beransur ke pedalaman. Rakyat Jakun dan Minang inilah yang membentuk Melayu Negeri Sembilan hari ini. Manakala orang Jakun yang beransur ke pedalaman kekal dengan cara hidup suku Jakun. 

Gambar 4: Luak-luak di Negeri Sembilan sebelum wujudnya daerah-daerah moden.

1 comment: