Saturday, November 21, 2015

Rahsia Warna dan Jalur Keturunan: Merah, Kuning, Hitam, Putih dan Biru

Jalur Merah - ialah jalur keturunan raja-raja melayu yang memang asal dari semenanjung atau tanah besar.
Bendera negeri Kedah Darul Aman.

Bendera negeri Kelantan Darul Naim.

Warna merah begitu dominan dalam bendera Kedah dan Kelantan, menandakan jurai keturunan pemerintah ialah raja-raja asal semenanjung. Hal ini tidak mengharainkan kerana tamadun di Kedah Tua wujud seawal 600 Sebelum Masihi (2,600 tahun yang lalu) dan banyak kerajaan2 purba wujud di sekitar daerah Kelantan seperti Chihtu (Tanah Merah), Panpan dan Langkasuka sekitar 100 SM hingga 200 M.

Jalur Kuning - boleh dianggap sebagai jalur keturunan sriwijaya-palembang dan justeru keturunan Melaka. Turut digunakan untuk keturunan raja-raja melayu dari kepulauan atau seberang.
Bendera Negeri Semibilan.
N.B. Hitam melambangkan pemimpin-peminpin luak.

Bendera negeri Selangor.
Bendera negeri Perak - Kuning melambangkan Raja Muda.
Warna kuning dapat dilihat pada bendera Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Sultan Perak ialah jurai keturunan terus Sultan Melaka yang sah; iaitu Sultan Muzaffar Shah. Selangor ialah negeri melayu yang dirajakan dengan keturunan raja bugis (raja luwu). Manakala Negeri Sembilan pula dirajakan dengan keturunan raja pagar ruyung (raja melewar). Kesemuanya dengan izin Sultan Melaka pada ketika itu.
Walaupun jalur kuning dan jalur merah berbeza, tetapi diduga daripada satu jurai keturunan yang sama. Menurut Sejarah Melayu, Raja Suran mewariskan wilayahnya kepada dua puteranya. Satu berkuasa di Amdan Negara (Kelantan-Kedah Tua) oleh Maharaja Dipang dan satu lagi di Sriwijaya- Sumatera (Palembang-Malayu) oleh Maharaja Dhiraja. Kemungkinan, keturunan Maharaja Dipang ialah jalur merah manakala keturunan Maharaja Dhiraja termasuk dalam jalur kuning

Jalur Hitam - ialah jalur keturunan bendahara. Kebiasaannya, jawatan bendahara dipegang pemimpin orang melayu asal semenanjung atau kerabat diraja yang terpercaya.
Bendera negeri Terengganu Darul Iman.
Bendera negeri Pahang Darul Makmur.
Warna hitam dalam bendera Perak melambangkan Raja di-Hilir.
N.B. Tok Temong pemimpin tempatan Hulu Perak digelar pemilik Mengkong Hitam.
Pahang diletakkan di bawah kekuasaan Bendahara Melaka dan kemudiannya Bendahara Johor-Riau. Terengganu pula diletakkan di bawah kekuasaan anak kepada Bendahara Johor-Riau. Perak pernah berada di bawah pemimpin tempatan selepas era kerajaan purba Perak iaitu Panglima Sakai (Raja di Hilir), Maharaja Lambor (wilayah Perak Tengah) dan Tok Temong (wilayah Hulu Perak). Selain itu, dalam bendera Negeri Sembilan, wujud warna hitam, untuk menunjukkan peranan penghulu dan undang luak-luak daripada suku Biduanda (keturunan campur Minang dan Jakun) yang membentuk asas sistem pemerintahan Negeri Sembilan.

Jalur Putih - ialah jalur keturunan kerabat diraja atau pembesar negeri yang diangkat menjadi raja di sesebuah negeri. Namun dia bukanlah waris takhta dari jalur kuning atau merah.
Bendera negeri Pahang dengan gelaran Tok Gajah. 
Bendera negeri Terengganu, terkenal dengan penyu.
Kebanyakkan wilayah yang sebelumnya diperintah keturunan Bendahara atau pemimpin tempatan diangkat menjadi raja bagi negeri baharu yang berdaulat setelah empayar Melaka dan Johor-Riau berpecah. Sebagai contoh; Pahang dan Terengganu.

Jalur Biru - lambang kekuasaan ketemenggungan dan sangat berkait rapat dengan kelautan. Biru juga melambangkan kuasa rakyat dalam negeri.
Bendera negeri Johor Darul Ta'zim.
Khusus bagi negeri Johor, jalur keturunannya ialah dibawah ketemenggungan. Kerajaan negeri Johor dan laut sangat rapat. Bahkan orang laut terakhir kali menumpahkan taat setia kepada raja Melayu di Johor sebelum membawa diri dan lenyap daripada sistem pemerintahan negeri. Biru juga melambangkan kuasa rakyat, di mana pertama kali rakyat melayu bangkit menentang raja berlaku di johor dalam peristiwa raja mahmud mangkat dijulang dan jawatan raja disandang keturunan bendahara dan kemudiannya temenggung berjaya mengambil alih kuasa pemerintahan negeri setelah campur tangan British.







5 benang halus jurai keturunan raja-raja Melayu di semenanjung sudah disuguhkan. 4 daripada 5 warna ini menjadi warna Jalur Gemilang. Merah Putih ialah warna asas dan kombinasi keramat.
Jalur Gemilang, bendera persekutuan Malaysia.

Konsep Suku dalam Masyarakat Pribumi Nusantara (Bahagian 2)

Orang Asal vs Orang Rantau/Dagang


Terdapat beberapa kekeliruan berkenaan definisi Orang Asal dan Orang Asli, bahkan dalam sistem perundangan. Orang Asal ialah anak watan bagi sesuatu negeri atau wilayah. orang Melayu, Orang Asli, orang Iban, orang Dusun dan lain-lain etnik peribumi ialah Orang Asal bagi negeri atau wilayah masing-masing. Orang Asal di Nusantara ialah masyarakat peribumi yang mendiami wilayah ini sejak semula, dan Orang Asal tidak setara dengan Melayu Proto kerana Melayu Deutro juga ialah Orang Asal bagi kawasan penempatan mereka. Hal ini juga dikuatkan dengan bukti kajian genetik yang mengesahkan bahawa Melayu Proto (sebagai contoh Orang Asli) dan Melayu Deutro (sebagai contoh orang Melayu Semenanjung) berasal daripada satu jurai keturunan yang sama. Menurut Puan Zaharah Sulaiman, pengkajiselidik sejarah, suku-suku peribumi di Asia Tenggara berpunca daripada satu kelompok manusia yang dipanggil Semang (Negrito). Melalui prinsip "enggang sama enggang dan pipit sama pipit", manusia berpecah-pecah mengikut kelompok masing-masing dan berevolusi secara mandiri dan hal ini kelak melahirkan suku-suku yang berbeza seperti yang kita kenali. Daripada Negrito itu, maka turunlah suku Senoi, suku Melayu Asli dan seterusnya suku-suku Melayu Muda atau Melayu Deutro seperti orang Melayu (pesisir), orang Jawa, orang Minang dan lain-lain. Revolusi dan perubahan cara hidup manusia kemudiannya mengubah pola kehidupan suku-suku ini yang dikelaskan kepada Melayu Proto dan Melayu Deutro berdasarkan perbezaan cara hidup. 

Gambar 1: Taburan Suku-suku Orang Asli di Semenanjung.
N.B. Di sesetengah kawasan terdapat pertindihan antara suku Melayu dan suku-suku Orang Asli. 

Gambar 2: Jurai Penurunan Suku-Suku di Nusantara.


Orang Rantau/Dagang ialah mereka yang berhijrah dari kampung halaman atau negeri asal ke tempat baharu atas faktor politik, ekonomi dan pendidikan. Dalam sejarah bangsa Melayu, begitu banyak hikayat-hikayat yang menceritakan perpindahan atau perantauan raja mahupun anak raja dalam peristiwa buka negeri. Sebagai contoh, Sultan Iskandar Syah, berhijrah daripada Singapura Purba ke Bentayan dan akhirnya ke Melaka sebelum membuka negeri di situ. Ketika tiba di Melaka, Sultan Iskandar Syah mendapati telah wujud perkampungan orang Melayu di situ. Oleh itu, orang Melayu di Melaka pada saat itu ialah Orang Asal bagi Melaka manakala Sultan Iskandar Syah dan pengikutnya merupakan Orang Rantau walaupun kedua-dua mereka ialah orang Melayu. Dan dalam warisan sistem pemerintahan kesultanan Melayu Melaka, kebiasaannya, raja atau sultan merupakan Orang Rantau yang mempunyai "darah raja" manakala jawatan bendahara biasanya disandang pemimpin Orang Asal wilayah tersebut. Hal ini dapat juga diteliti antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba di mana Sang Sapurba yang menikahi putri Demang Lebar Daun diangkat menjadi Raja manakala Demang Lebar Daun berperanan sebagai Bendahara atau Patih (penasihat). Selain itu, di Semenanjung, wujud istilah Melayu Jati dan Melayu Dagang. Melayu Jati ialah Orang Asal di Semenanjung seperti Melayu Kedah, Melayu Patani, Melayu Kelantan, Melayu Terengganu, Melayu Pahang, Melayu Perak, Melayu Selangor, Melayu Negeri Sembilan, Melayu Melaka, Melayu Johor dan Melayu Singapura. Manakala, Melayu Dagang ialah mana-mana suku peribumi daripada Nusantara atau Alam Melayu yang berhijarah ke Tanah Melayu. Mereka ialah orang Jawa, Minang, Kampar, Banjar, Rawa, Bugis, Aceh, Mandailing dan lain-lain lagi. Kebanyakkan Melayu Dagang berhijrah ke Tanah Melayu kerana faktor politik dan ekonomi akibat peperangan dan penindasan penjajah. 

Gambar 3: Antara Melayu Dagang dan Melayu Jati di Malaya.

Antara contoh yang menarik tentang interaksi atau hubungan antara Orang Asal dan Orang Rantau ialah dalam pembukaan Negeri Sembilan. Sebelum kedatangan perantau Minang di Negeri Sembilan, telah wujud sistem pemerintahan tersendiri di negeri tersebut. Hal ini terbukti melalui kitab Negarakertagama yang ditulis pada abad ke-14, nama luak Sungai Ujong telah pun wujud sebelum pembentukan Negeri Sembilan. Negeri Sembilan mula dibentuk apabila pengulu-penghulu luak-luak yang sembilan meminta izin Sultan Melaka untuk mencari anak raja bagi dirajakan negeri mereka. Sultan Melaka memberi perkenan lalu anak raja daripada Pagar Ruyung, Sumatra dipilih sebagai raja pada sekitar abad ke-18. Perkahwinan antara Raja Malewar (anak raja Pagar Ruyung) dan beberapa orang pengikutnya dengan anak-anak pemimpin Orang Asal (iaitu orang Jakun) telah melahirkan Suku Biduanda. Suku Biduanda inilah yang layak memegang jawatang undang yang empat iaitu undang di luak Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Rembau serta jawatan penghulu di luak Terachi, Gunung Pasir, Ulu Muar, Inas (Sri Menanti) dan Jempol. Kemudiannya, datang kelompok kedua penghijrahan daripada golongan rakyat Minang. Kemudiannya berlaku penyesuaian antara rakyat Minang dan rakyat Jakun. Bagi orang Jakun yang tidak dapat menerima perubahan baharu ini, mereka beransur ke pedalaman. Rakyat Jakun dan Minang inilah yang membentuk Melayu Negeri Sembilan hari ini. Manakala orang Jakun yang beransur ke pedalaman kekal dengan cara hidup suku Jakun. 

Gambar 4: Luak-luak di Negeri Sembilan sebelum wujudnya daerah-daerah moden.

Sunday, November 15, 2015

Pamali: Sunda dan Jawa (1)



Pulau yang kini dikenali dengan nama pulau Jawa, pada asalnya menempatkan manusia yang sebangsa dan satu suku. Mereka belum lagi membezakan diri mereka kepada Jawa, Sunda, Madura, Osing, Cirebon, Banten, Betawi, dan Banyumasan - melainkan menyatakan daerah asal mereka apabila bertemu. Pulau Jawa juga turut dijoloki sebagai Pulau Hyang atau Pulau Dewata kerana pulau ini dianggap tempat di mana Dewi Sita dibawa lari seperti yang terakam dalam karya Ramayana. Selain itu, terdapat beberapa pergunungan di pulau ini diabadikan dengan nama Hyang; sebagai contoh: Parahyangan (Priangan, Jawa Barat), Dihyang (Dieng, Jawa Tengah) dan Iyang (Iyang, Jawa Timur). 

Kerajaan Awal

Selain daripada situs Gunung Padang yang dianggar berusia 20 000 tahun, kebudayaan awal yang wujud di pulau ini ialah kebudayaan Buni, seawal 400 SM dan terletak di pesisir utara Jawa Barat. Kebudayaan Buni ini kemudian digantikan dengan kerajaan Salakanagara (Kota Perak). Pemerintah tempatan terakhir sebelum kerajaan Salakanagara berdiri ialah Aki Tirem. Menantunya mewarisi kepimpinannya dan memulakan kerajaan Salakanagara sekitar 130M dan kerajaan ini berakhir pada 362M. Salakanagara kemudian menjadi negeri bawahan kerajaan Tarumanagara yang dibangunkan oleh wangsa atau dinasti Warman. Tarumanagara atau Kota Taruma diduga namanya diambil sempena sebuah sungai, iaitu Citarum. Pada 526M, Suryawarman pemerintah Taruma yang ke-7, telah mengangkat menantunya, Manikmaya yang berasal dari Jawa Timur sebagai rajaresi di wilayah kebuyutan atau mandala Kendan. 


Pada masa yang sama, wujud sebuah kerajaan purba di timur Tarumanagara yang digelar masyarakat tempatan sebagai Medang Kemulan. Perkataan "kemulan" diduga bererti permulaan atau kerajaan pra-Medang. Medang Kemulan muncul dalam hikayat Aji Saka dan hikayat asal-usul orang Madura. Menurut hikayat Aji Saka, Medang Kemulan diperintah oleh bangsa denawa dan rajanya pada ketika itu bernama, Prabu Dewata Cengkar. Semulanya, Prabu Dewata Cengkar ialah raja yang adil dan saksama. Namun, suatu ketika, tukang masak diraja secara tidak sengaja terhiris jarinya ketika memasak dan darahnya tercampur dalam panganan sang prabu. Semenjak itu, sang prabu menjadi raja yang zalim dan dahagakan darah manusia. 

Kemudian, di pesisir utara Jawa Tengah, sekitar Pekalongan dan Jepara, wujud sebuah kerajaan yang bernama Holing menurut catatan Cina. Holing ini diduga sepadan dengan kerajaan Kalingga dalam Babad Tanah Djawi dan turut digelar sebagai kerajaan Jawa. Kerajaan Jawa ini wujud sekitar abad ke-6 atau ke-7 Masihi. Meskipun kerajaan ini digelar kerajaan Jawa, namun berdasarkan rekod yang ditemui, kerajaan ini menggunakan bahasa Melayu kuno sebagai bahasa rasmi dan dalam menulis prasasti (e.g. prasasti Sojomerto). Pendulu bagi kerajaan Jawa ini ialah Santanu yang kemudiannya diwarisi Dapunta Selendra. Oleh itu, kerajaan Jawa ini dapat dirumuskan sebagai milik wangsa Sailendra. 



Sunda dan Galuh

Pemerintah terakhir daripada wangsa Warman yang memerintah Tarumanagara tidak memiliki putera. Linggawarman mempunyai dua orang puteri, iaitu Manasih dan Sobakancana. Manasih telah diperisterikan dengan Tarusbawa, pemerintah daerah Sunda Sembawa yang merupakan bekas ibu kota Tarumanagara. Manakala, Sobakancana menjadi isteri Dapunta Sri Jayanasa yang kelak mendirikan kerajaan Sriwijaya yang berpusat di Palembang. Oleh itu, takhta pemerintahan Tarumanagara beralih kepada Tarusbawa dan menandakan berakhirnya pemerintahan wangsa Warman. Tarusbawa kemudiannya menukar nama kerajaan Tarumanagara kepada Sunda dan memindahkan ibu kotanya ke Sundapura. Hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati, cucu Manikmaya yang merupakan rajaresi Kendan. Rajaresi Wretikandayun yang mendirikan kota Galuh, mengisytiharkan bebas daripada kekuasaan Sunda dan berdiri sebagai kerajaan yang merdeka meliputi wilayah Kendan, sekitar Nagreg dan Garut. 


Putera kepada Wretikandayun, iaitu Mandiminyak memperisterikan Prawati, puteri kepada Ratu Shima, pemerintah kerajaan Jawa. Hasil perkahwinan tersebut, dikurniakan seorang putera bernama Bratasenawa dan menjadi pemerintah kerajaan Galuh yang ke-3. Bratasenawa kemudian memperisteri cucu kepada Ratu Shima, iaitu Sanaha. Bratasenawa dan Sanaha memperoleh seorang putera yang dinamakan Sanjaya atau Rakyan Jambri. Mandiminyak dan Bratasenawa diduga sebagai pemerintah kerajaan Galuh dan Jawa pada masa yang sama. Walau bagaimanapun, prasasti Canggal menyatakan bahawa Sanjaya mewarisi takhta kerajaan Jawa (Kalingga) daripada Sanna melalui saudara perempuannya iaitu Sannaha setelah kerajaan berada dalam perpecahan. 

Purbasora, saudara seibu Bratasenawa (hasil pernikahan Rahyang Sempakwaja dan Prawati) berhasil merampas takhta pemerintahan Galuh. Bratasenawa dan keluarganya mengungsi ke kerajaan Sunda untuk memohon perlindungan dan bantuan. Ironinya, datuk kepada Bratasenawa (iaitu Wretikandayun) dahulu ingin berpisah daripada kerajaan Sunda di bawah Tarusbawa. Kini cucu Wretikandayu telah datang memohon perlindungan dan bantuan daripada Tarusbawa. Kerajaan Sunda diperintah oleh Tarusbawa dan kemudiannya diwarisi puteranya, Rakyan Sundasambawa. Rakyan Sundasambawa tidak memerintah lama dan meninggalkan seorang puteri bernama Nay Sekarkancana atau Tejakencana. Tejakencana kemudiannya diperisterikan kepada Sanjaya dan menjadi pemerintah kerajaan Sunda dengan gelaran, Prabu Harisdarma. Baginda juga dikurniakan seorang putera hasil perkahwinannya dengan Tejakencana, bernama Rakyan Tamperan. 

Dengan bantuan Tarusbawa dan kerajaan Sunda, Sanjaya berhasil membunuh Purbasora dan menuntut takhta Galuh. Oleh kerana Sanjaya sedang bertakhta di Sunda, maka ditawarkan kepada Demunawan, adik kepada Purbasora. Namun, Sampakwaja menolak pelawaan tersebut kerana khuatir akan muslihat Sanjaya untuk menghapuskan Demunawan. Oleh itu, Sanjaya melantik Premana, cucu kepada Purbasora untuk menjadi penguasa Galuh dibawah seliaan Rakyan Tamperan sebagai Patih.

bersambung...