Wednesday, November 28, 2018

Perharian Beka Melayu 2

Tahu

Tahu berasal daripada perkataan rekonstruksi (atau bina semula) bahasa proto-Austronesia *Caqu yang kemudiannya berpecah menjadi bahasa proto Malayo-Polinesia, mengalami perubahan fonologi *C kepada *t; *taqu. Perubahan lanjutan dalam pemencaran bahasa Malayo-Polinesia menghasilkan perkataan yang kita kenali hari ini, iaitu [tahu].

Tahu, bererti:
1. faham, maklum akan keadaan sebenar, mengerti
{kita sudah tahu bahawa negara kita terdiri daripada 13 negeri dan 1 wilayah persekutuan}
2. kenal (orang)
{dia tidak tahu saudara maranya}
3. cekap dan pandai melakukan sesuatu, mahir
{dia tahu menunggang kuda}
4. mengambil peduli, endah
{itu urusan kau, aku tak mahu tahu}
5. insaf, sedar akan keadaan sebenar
{anak yang tidak tahu diuntung}
6. pernah melakukan sesuatu, biasa, selalu
{saya tidak tahu makan daging}
7. menganggap sudah semestinya
{yang kau tahu semua kerja dah siap}

Daripada kata dasar ini, kata terbitan wujud melalui pengimbuhan.

> setahu
1. sepanjang yang dimaklumi
{setahu saya, dia tidak pernah merokok}
2. dengan dimaklumi atau disaksikan oleh
{dengan setahunya, aku izin cuti hari ini}

> tahu-tahu
1. dengan tidak disedari, kemudian barulah diketahui
{tahu-tahu dia sudah berkahwin}
2. sl pandai, bijak
{ada satu jurus yang hamba peroleh daripada perajurit yang tahu-tahu}

> bertahu; bertahukan
1. Jk memberitahukan kepada
{sudah ana bertahukan kepada pak kiai}

> bertahu-tahu
1. berpura-pura (berlagak) tahu
{kau ni, bertahu-tahu sahaja, tetapi sebenarnya tidak}
2. Mn (dengan) setahu
{Limah pergi bertahu-tahu dengan suaminya}

> bertahuan
1. berkenalan
{sebelum bertunang, bertahuanlah dahulu}

> tahu-menahu  (biasanya wujud dalam ayat nafi)
1. tahu tentang sesuatu perkara
{aku tidak tahu-menahu tentang kes rasuah syarikat kita}
2. ambil peduli
{aku tidak mahu tahu-menahu dengan kes itu}
3. tidak kenal-mengenal
{aku membenarkan sesiapa sahaja masuk tanpa tahu-menahu identiti mereka}

> mempertahukan
1. mempermaklumkan, memberitahukan
{aku dah mempertahukan ketua akan perkembangan kes siasatan}

> tertahu
1. sl terkenal, termasyhur
{dia ialah pawang tertahu di negeri ini}

> mengetahui
1. tahu akan, memaklumi
{kenapa saya tidak mengetahui hal ini?}
2. tahu setelah melihat tanda-tanda dan buktinya; mengenali, mengecam
{tidak sulit bagi kita untuk mengetahui binatang jenis mamalia ini}
3. mendapati, menginsafi, menyedari
{saya baru mengetahui bahawa dia tidak bersalah}
4. mengerti akan, memahami
{saya tidak mengetahui bahasa Tagalog}

> ketahuan
1. (sudah) diketahui, dikenali
{sejak mula sudah ketahuan siapa kau sebenarnya}
2. telah didapati, kedapatan, terbukti
{dia ketahuan mencuri dana masjid}
3. terang, nyata, jelas
{tidak ketahuan apa yang hendak dibuatnya}
4. Kd (tidak) siuman
{tidak ketahuan}

> berketahuan
1. tahu benar, tidak syak lagi, sahih
{hadis ini tidak berketahuan}

> pengetahuan
1. perihal mengetahui, apa yang diketahui
{kes rasuah itu telah sampai ke pengetahuan pengerusi syarikat}
2. perihal tahu, kepandaian, kebijakan
{biasanya orang yang ada pengetahuan dalam bidang sains, kurang pengetahuan dalam bidang sastera}
3. segala yang akan diketahui atau dipelajari
{ilmu pengetahuan}

> berpengetahuan
1. banyak pengetahuan, berilmu, terpelajar
{berpengetahuan luas dalam bidang kedoktoran}

> sepengetahuan
1. dengan pengetahuan, atas pengetahuan, seizin
{dia memohon cuti dengan sepengetahuan pengetua)

ringkasnya:
1. bertahu(kan) : memaklumi
2. tetahu : bijak
3. berketahuan : sahih
4. pengetahuan : ilmu
5. berpengetahuan : berilmu
6. ketahuan : kantoi
7. tertahu : popular
8. sepengetahuan : seizin

istilah baharu yang disuguhkan:

1. tahukan / taukan : fakta
{tahukan ini dimasukkan dalam ensiklopedia pelajar}
2. ketetahu : kebijaksanaan (wisdom)
{ketetahu hanya dapat dicapai melalui pencerahan diri}
3. tetahuan : maklumat, info
{tetahuan ini saya peroleh daripada sumber yang dipercayai}
4. ketetahuan : politik
{ketetahuan Malaysia dilingkari isu-isu perkauman dan kaban (ahli) ketetahuan yang bacut}
5. pertahu : akademi
{menara gading merupakan tempat perkumpulan golongan pertahu}
6. kepertahuan : akademik, ilmiah
{pembentangan tesis itu diperbincangkan secara kepertahuan}
7. ketahu : nyata, realiti
{ketahunya, orang Melayu telah ditindas secara teratur sejak zaman British lagi}
8. kebertahuan : pemakluman
{kebertahuan tentang pengurungan konsert tersebut telah dibuat melalui media sosial}
9. pembertahu : pemaklum

Wednesday, November 21, 2018

Perharian Beka Melayu 1

Imbuhan peR- dan peR-an dalam Pembentukan Perkataan Baharu

Secara asal, imbuhan peR- mempunyai peran yang terbatas dalam bahasa Melayu moden. Dalam usaha atau tenggang untuk memperkaya kosa kata beka Melayu, imuhan peR- dan peR-an dilihat mampu membuka pintu untuk tujuan tersebut.

peR-

peran asli:
1- pelaku perbuatan: perburu, pertapa dll.
2- alat atau tempat: perasap, perbara

peR-an

peran asli:
1- tempat: perkuburan, perkampungan, perumahan
2- hal-hal yang berkaitan dengan kata dasar: perbarisan, persamaan, pertubuhan, perusuhan

Rumus:

KN(dasar) + peR-an = KN
KK (dasar) + peR-an = KK

KK (dasar) yang mempunyai bentuk meN- dan beR yang membawa maksud berbeza atau wujud sebagai satu kata banyak makna, maka imbuhan peN- dipadankan dengan kata kerja bentuk meN-, begitu pula sebaliknya untuk kata kerja bentuk beR- menerima padanan imbuhan peR-.

contoh: siar
siar; menyiar --> penyiaran
siar; bersiar-siar --> persiaran

KK bentuk meN- selalunya dalam bentuk ayat transitif - memerlukan objek.
KK bentuk beR- selalunya dalam bentuk ayat tak transitif - tidak memerlukan objek.

KN yang menerima imbuhan meN- dan beR- memberi makna berbeza kepada kata terbitannya.

contoh:
ubat; mengubat --> pengubatan
ubat; berubat --> perubatan

mengubat(i) ialah satu perbuatan yang dilakukan oleh orang yang memberi perkhidmatan kesihatan seperti doktor atau dukun. pengubatan ialah kata nama terbitan untuk menerangkan perbuatan tersebut.

berubat ialah satu perbuatan yang dilakukan oleh orang yang menerima, iaitu pesakit. perubatan pula menerangkan tentang perihal berubat.

bandar; membandarkan --> menjadikan bandar
bandar; berbandar (tidak wujud)

pembandaran --> usaha menjadikan sesuatu kawasan sebagai bandar; urbanisasi
perbandaran --> berkaitan dengan bandar