Wednesday, January 2, 2019

Nombor dalam bahasa-bahasa Austronesia

Nombor dalam bahasa-bahasa Austronesia

Nombor merupakan salah satu kosa kata dalam sesuatu bahasa yang kebiasaannya rentan peminjaman bahasa luar (dengan beberapa pengecualian seperti Thai, Korea, dan lain-lain). Sesetengah bahasa menggunakan asas 5 dalam pembilangan mereka, sesetengah pula menggunakan asas 10 / puluh. Ada beberapa bahasa yang menjadikan 20 sebagai asas pengiraan mereka. Bahasa Khmer menggunakan asas 5 dalam pengiraan mereka. Oleh itu, nombor 6 dalam bahasa khmer akan menjadi 5+1.

Mengikut rekonstrusi bahasa proto-Austronesia, bahasa-bahasa Austronesia secara umumnya menggunakan asas 10 dalam pengiraan, kecuali bahasa Igorot di utara Filipina dan beberapa bahasa Austronesia di Maluku-Papua. Nombor bawah daripada lima dalam bahasa-bahasa Austronesia sangat rentan perubahan dengan pengecualian nombor tiga. Manakala, nombor enam sehingga nombor sembilan sangat terbuka kepada inovasi.

Berikut merupakan perkataan rekonstruksi dari nombor satu sehingga sepuluh dalam bahasa proto-Austronesia.

Proto-Austronesia
*esa/isa = 1
*duSa = 2
*telu = 3
*Sepat = 4
*lima = 5
*enem = 6
*pitu = 7
*walu = 8
*Siwa = 9
*sa-puluq = 10

Dengan limitasi kawasan perbandingan yang hanya meliputi Nusantara dan Formosa, penelitian tentang perubahan-perubahan nombor asas dalam bahasa-bahasa Austronesia sangat mengujakan.

Sembilan/Sanga/Siyam/Siwa



Majoriti bahasa-bahasa Austronesia di kepulauan Maluku dan Nusa Tenggara mewarisi kognat *siWa daripada bahasa pangkal Austronesia. Manakala, hanya kelompok bahasa Lampungik dan kelompok bahasa Batak-Pulau Perbatasan yang mempertahankan bentuk *siWa di Sumatra.

Bahasa-bahasa kepulaun Filipina, kelompok Dusunik dan kelompok Barito pula menunjukkan inovasi bunyi kepada *siyam untuk nombor sembilan. Manakala kelompok Sulawesi Selatan, Dayak Darat, Kayan, Rejang pula memperlihatkan inovasi nombor sembilan yang tersendiri dan unik(tidak diwarnakan di dalam peta)

Kelompok Malayik, Chamik, dan Sunda pula bukan sekadar menunjukkan inovasi bunyi, bahkan inovasi konsep pengiraan itu sendiri. Nombor sembilan dalam bahasa-bahasa ini (berwarna hijau dalam peta) menggunakan kata dasar 'ambil' atau 'alap' untuk membina perkataan sembilan. Sembilan atau salapan bermaksud, satu yang diambil/dialap daripada sepuluh. Konsep ini juga terpakai untuk nombor lapan/dualapan namun tidak menyeluruh.

Kelompok terakhir ialah bahasa Jawa dan bahasa Madura yang menggantikan nombor sembilan dengan sebutan sanga (dibaca: songo). Diduga, bahasa Madura sebetulnya meminjam daripada bahasa Jawa, dan inovasi *sanga ini unik untuk bahasa Jawa.

Tujuh vs Pitu



Untuk nombor tujuh, dapat dilihat terdapat dua jenis kelompok besar iaitu kelompok bahasa yang mempertahankan kognat *pitu daripada bahasa proto-Austronesia dan kelompok yang mengalami inovasi pada nombor tujuh.

Kebanyakkan bahasa-bahasa Austronesia timur didapati mempertahankan perkataan asal *pitu berbanding bahasa-bahasa Austronesia barat (kecuali kelompok Jawa, Bali-Sasak-Sumbawa, Lampung dan Batak-Pulau Perbatasan). Ini menunjukkan bahawa bahasa-bahasa Austronesia timur lebih dekat dengan bahasa proto-Austronesia dan diduga berpisah lebih lambat dengan bahasa pangkal berbanding kelompok bahasa yang mengalami inovasi.

Pusat inovasi perkataan *tujuh diduga berada di pulau Borneo. Perkataan tujuh ini berakar daripada perkataan /tunjuk/ atau /tuduh/ di mana apabila mengira menggunakan jari, jari telunjuk akan dikeluarkan untuk menunjukkan nombor tujuh. Borneo dipilih sebagai calon paling sesuai sebagai pusat inovasi nombor tujuh ini kerana seiring dengan ilmu bahasa sejarawi, pergerakan bahasa-bahasa Austronesia dari Formosa, melewati Filipina, dan masuk ke Borneo terlebih dahulu sebelum berpencar ke Sumatera, Semenanjung dan Tanah Besar.

Bagi kelompok yang mempertahankan perkataan *pitu, route atau laluan yang dilalui oleh mereka ialah dari Filipina, lewat pulau Sulawesi dan melewati koridor selatan untuk menuju ke pulau Sumatera (iaitu Lampung dan Batak), dengan menempuh selatan Borneo (contoh bahasa Ngaju) dan pulau Jawa (contoh bahasa Jawa).

Tiga vs Telu



Telu tidak dapat dipungkiri lagi, merupakan perkataan yang paling banyak tersebar dan merupakan pemertahanan daripada bahasa leluhur Austronesia. Bahkan, bahasa-bahasa yang sebelumnya terkelompok dalam kelompok "tujuh" sebahagian daripadanya masih mempertahankan *telu ketimbang *tiga. Hal ini menunjukkan bahawa inovasi *tiga ini merupakan *inovasi yang agak lewat dan paling baharu kerana seperti yang ditekankan di awal perenggan, nombor bawah daripada lima sangat rentan terhadap perubahan.

Pusat inovasi perkataan *tiga ini diduga berpusat di Semenanjung atau setidak-tidaknya di antara orang laut yang mendiami segi tiga Melayu. Hal ini kerana, bahasa Melayu yang dipahat pada zaman Sriwijaya dalam prasasti yang ditemukan di Sumatera, masih menggunakan telu berbanding tiga. Manakala, penyebaran *tiga dalam bahasa Iban mungkin melalui perhubungan antara orang Melayu dengan orang Iban melalui migrasi imbal balik orang-orang Melayu zaman pasca-Sriwijaya ke pulau Borneo. Hal ini juga menerangkan penyebaran *tiga di wilayah Borneo yang lain yang menuturkan bahasa-bahasa Malayik.

Teori lagi satu pula, menyatakan bahawa pusat inovasi perkataan *tiga masih di Borneo tetapi lebih tepat di barat daya Borneo ketika berlaku perpisahan antara kelompok Chamik daripada kelompok Ibanik dan kelompok Melayik. Berbanding dengan pusat inovasi perkataan *tujuh yang mungkin berada lebih jauh ke utara Borneo. Teori ini dengan jelasnya menerangkan kenapa perkataan *tiga hanya wujud dalam kelompok Melayik dan Ibanik tetapi tidak dalam kelompok Chamik, kerana seperti yang kita tahu, ketiga-tiga kelompok ini satu ketika berkongsi leluhur yang sama.

Kosong dan titik perpuluhan - penemuan Agung bahasa Melayu

Jauh sebelum orang Barat, orang Arab dan juga orang India mengenal kosong dan fungsinya, orang-orang di Nusantara telah lama mengenal konsep kosong dan titik perpuluhan. Hal ini dibuktikan dengan penemuan dalam prasasti Dong Yen Chau di Vietnam yang bertarikh sekitar abad ke-4. Pakar sejarah menganggap bahawa prasasti ini menggunakan bahasa Cham Purba namun persamaan yang sangat ketara dengan bahasa Melayu moden berbanding dengan bahasa Cham moden, menimbulkan polemik tentang bahasa yang digunapakai dalam prasasti ini. Walau bagaimanapun, prasasti ini cukup membuktikan kemajuan orang-orang Nusantara dalam bidang matematik mendahului bangsa-bangsa lain sezaman dengannya.

Related image

Kesimpulannya, orang-orang Melayu dan serumpun dengannya telah lama mempelajari nombor dan mengungkapkan konsep-konsep baharu dalam matematik lalu diterjemahkan dan dirakam kemas dalam bahasa yang dipertuturkan. Konsep ilmu dalam budaya Melayu bukan sekadar mencari tahu, tetapi menghayati dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sayangnya, pada zaman ini, kebanyakkan daripada kita hanya mengejar tahu, namun sedikit yang membudikan pengetahuan tersebut.